Dah nak raya. Orang ramai makin sibuk shopping. Kuih raya, pakaian, perabot dan macam-macam lagi. Tapi ingat, dalam keseronokan nak menyambut raya, jangan lupa, elakkan BOROS... Allah telah melarang hambaNya daripada bersifat boros. Berbelanjalah secara sederhana, InsyaAllah diberkati Allah...
*************
BERUSAHA
mencari rezeki halal dan membelanjakannya bagi memenuhi keperluan hidup yang
selesa dan sempurna adalah antara ibadat yang besar ertinya dalam kehidupan
seseorang Muslim.
Kehidupan
yang baik dan selesa kadang-kadang dikurniakan Allah sebagai balasan awal
terhadap keimanan dan ketaatan hamba-Nya.
Demikian
juga penderitaan dan kesengsaraan hidup, kadang-kadang adalah balasan yang
disegerakan di dunia bagi membolehkannya menerima nikmat sepenuhnya di akhirat
tetapi ada juga penderitaan itu akibat kelemahan iman terhadap kekuasaan Allah
dan berleluasanya kemungkaran dalam kehidupannya.
Hakikat
ini dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud:
"Sesiapa
yang mengikuti petunjuk daripada-Ku, nescaya dia tidak akan sesat dan tidak
pula akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling daripada ingatan
dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit."
(Surah Al-Taha: ayat 123-124)
Di
samping unsur kerohanian, Islam juga mengakui bahawa kebendaan turut berfungsi
memberi keselesaan kepada manusia. Justeru, Islam menghalalkan kita mengambil
makan minum yang lazat, memilih tempat dan kediaman yang memenuhi kehendak dan
cita rasa, memiliki kenderaan yang cantik dan pasangan hidup yang damai dan
tidak mendatangkan masalah.
Dalam
sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda, maksudnya:
"Empat
perkara bakal mendatangkan kebahagiaan: isteri yang solehah, rumah yang luas,
jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Empat perkara yang mengundang kekacauan:
isteri yang buruk akhlak, jiran yang jahat, kenderaan yang buruk dan rumah yang
sempit."
Bagi
mengekalkan keselesaan dan kebahagiaan di dunia, Islam juga menolak beberapa
tabiat buruk yang boleh mengancam kesejahteraan hidup dan menukarnya dengan sekelip
mata daripada senang kepada susah, daripada hidup mewah kepada menderita dan
papa kedana.
Antara
tabiat buruk yang mengancam kesejahteraan umat ialah berfoya-foya dengan
kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering
disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu. Al-Quran
mengingatkan manusia dua perkara penting melalui dakwah dan Rasul, iaitu bahaya
kehidupan mewah dan tabiat sukakan pembaziran.
Firman Allah SWT bermaksud:
"Dan
orang yang tidak melarang perbuatan mungkar di bumi ini menitik beratkan segala
kemewahan yang diberikan kepada mereka dan jadilah mereka orang yang
berdosa."
(Surah Al-Hud: ayat 116)
Dr Yusuf
al-Qardawi mengulas mengenai kemewahan, katanya:
"Kemewahan
hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada
suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa,
suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza."
Imam
Fakhr al-Razi mengertikan kemewahan yang menjadi punca keruntuhan masyarakat
ialah tabiat hidup yang sombong dengan kenikmatan yang dirasai.
(Tafsir Al-Kabir, 18/75)
(Tafsir Al-Kabir, 18/75)
Kehidupan
yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam tetapi
kehidupan mewah dan sombong adalah suatu cara hidup yang buruk dan dikeji.
Sikap
sombong dengan nikmat yang diperoleh, sering membawa manusia melupai Allah SWT
dan jauh daripada jalan yang benar. Atas dasar mewah dan sombong inilah, Islam
mengharamkan penggunaan peralatan emas dan perak, hamparan sutera dan melarang
lelaki memakai pakaian yang diperbuat daripada emas dan sutera.
Selain
hidup berfoya-foya dengan kemewahan, al-Quran juga menentang amalan boros dan
pembaziran harta ketika berbelanja sehingga melampaui batas kesederhanaan
sekali pun barang yang dibelanjakan diperoleh daripada sumber yang halal. Banyak
ayat menyentuh mengenai keburukan tabiat ini, antaranya firman Allah SWT
bermaksud:
"Sesungguhnya
Firaun adalah orang yang sombong takbur lagi terbilang dalam golongan orang
yang boros berbelanja."
(Surah Al-Dukhan: ayat 31)
Membazir
dan boros berbelanja diertikan dengan mengguna harta tanpa muslihat dan
kepentingan. Amalan ini juga bertentangan dengan prinsip kesederhanaan yang
menjadi sifat utama Ibad al-Rahman (hamba-hamba Allah yang maha penyayang) dan
dikehendaki Islam sebagaimana firman-Nya bermaksud:
"Hamba-hamba
Allah ialah mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tidak boros dan tidak
kedekut, sebaliknya perbelanjaan mereka adalah sederhana."
(Surah Al-Furqan: ayat 67)
Al-Quran
juga sering menggambarkan keburukan tabiat ini dengan menyatakan beberapa
persamaan antara mereka dan syaitan, sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya
bermaksud:
"Sesungguhnya
orang yang boros adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk
yang sangat kufur kepada Tuhannya."
(Surah Al-Israk: ayat 27)
Imam
Fakhr al-Razi mengulas erti pembaziran yang diharamkan Islam, iaitu
menghabiskan harta pada jalan yang tidak membawa faedah. Ini bermakna jika
harta dibelanjakan pada jalan kebaikan dan kepentingan umum, tidak boleh
disifatkan sebagai membazir atau boros.
(Tafsir Al-Kabir: 20/195)
(Tafsir Al-Kabir: 20/195)
Pembazir
harta dikira sebagai saudara syaitan kerana ada beberapa persamaan, antaranya
ialah sama-sama kufurkan nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya dan tidak
menggunakan nikmat yang ada untuk faedah umum yang mendatangkan kebajikan.
Pembaziran
harta disebut juga dalam hadis Rasulullah dengan Idat al-Mal atau memusnahkan
harta benda. Sikap ini termasuk amalan yang dibenci Allah. Dr Yusuf al-Qardawi
dalam bukunya "Dawr al-Qiyam Wa al-Akhlak Fi al-Iktisad al-Islami"
memberi contoh pembaziran yang berlaku dalam masyarakat sama ada secara
disedari atau tidak, seperti mengabaikan ternakan dan tanaman, tidak menjaga
makanan sehingga musnah dan tidak boleh dimakan, membiarkan pakaian kotor
sehingga cepat luntur, tidak menyelenggara rumah kediaman, kereta dan barang
kepunyaan sendiri sehingga cepat rosak.
Membiarkan
lampu menyala tanpa sebarang muslihat, membiarkan paip air bocor menyebabkan
kerugian terpaksa ditanggung, membuang makanan yang masih boleh dimakan pada
hal ada orang miskin yang kelaparan, memusnahkan pakaian yang masih baik dan
boleh dipakai semata-mata kerana dianggap ketinggalan zaman pada hal ada orang
memerlukannya untuk menutup aurat, menaiki kenderaan bersendirian pada hal
masih ada beberapa tempat duduk yang kosong dan ada orang yang memerlukannya
untuk menuju ke destinasi yang sama dan makan bersendirian padahal dia boleh
dikongsi beberapa orang.
Mensia-siakan
harta adalah suatu sikap yang bertentangan dengan budaya Islam, termasuklah
membiarkan bumi kosong tanpa ditanam sebarang pokok atau tanpa diambil langkah
menghidupkan buminya, perusahaan yang tidak ditingkatkan produktivitinya pada
hal ia masih boleh ditingkatkan, haiwan disembelih tetapi banyak bahan yang
berfaedah terbuang seperti kulit, bulu dan seumpamanya.
Justeru,
pembaziran bertentangan dengan budaya Islam. Rasulullah pernah menegur seorang
lelaki yang sedang mengheret bangkai kambing untuk dibuang, sabda baginda:
"Mengapa
kamu tidak buang kulitnya terlebih dahulu?"
Jawab
mereka:
"Kulit
kambing ini bangkai yang tidak berguna lagi."
Sabda
baginda:
"Bangkai
itu hanya haram dimakan, tetapi kulitnya masih boleh dimanfaatkan."
Justeru,
harta benda tidak boleh disia-siakan. Imam al-Bukhari menjudulkan hadis di atas
dengan suatu judul yang menarik, iaitu: "Perlukah tempayan arak
dipecahkan?"
Maksud
beliau ialah jika tempayan arak boleh dibersihkan, tidak ada sebab mengapa ia
harus dimusnahkan.
Pemikiran
Islam jelas sekali dalam hal ini dan kita percaya hasrat kerajaan supaya
mengambil langkah berjimat cermat bagi mengatasi masalah kemelesetan ekonomi
akibat kejatuhan nilai ringgit akan tercapai sepenuhnya dalam tempoh terdekat
jika ajaran Islam ini dihayati dengan sebaik-baiknya.
Katakan tak nak kepada BOROS..... Hidupjanganboros
Hidupbiarbest
0 orang dah komen:
Post a Comment