Assalamualaikum
semua...Ramadhan Karim...Ramadhan tiba lagi...Syukur kerana kita diberi
kesempatan berjumpa lagi dengan bulan yang penuh dengan keberkatan dan
kemuliaan ini...Marilah kita sama-sama menghayati khutbah Rasulullah ini
sempena menyambut Ramadhan...
**********
Wahai manusia,sudah datang
kepada kalian bulan Allah dengan membawa keberkatan rahmat dan keampunan. Bulan
yang paling mulia di sisi Allah. Hari-harinya adalah hari-hari yang paling
utama. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama. Jam demi jamnya
adalah jam-jam yang paling utama.
Inilah bulan ketika kamu
diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya. Dibulan ini,
nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu adalah ibadah, amal-amalmu diterima dan
doamu dimakbulkan. Mohon kepada Allah, tuhanmu dengan niat yang tulus dan hati
yang suci agar Allah membimbingmu bagi melaksanakan puasa dan membaca
Kitab-Nya.
Malang bagi orang yang tidak
mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini. Kenang dengan rasa lapar dan
hausmu, kelaparan dan kehausan di hari kiamat. Bersedekah kepada fakir miskin.
Muliakan orang tuamu, sayangi yang muda, sambungkan tali persaudaraanmu,
pelihara lidahmu, kawal pandanganmu dari apa yang tidak halal bagi kamu
memandangnya dan kawal pendengaranmu dari apa yang tidak halal bagi kamu
mendengarnya. Kasihi anak-anak yatim, nescaya dikasihi manusia anak-anak
yatimmu.
Bertaubat kepada Allah dari
dosa-dosamu. Angkat tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu kerana itu
adalah saat-saat yang paling utama ketika Allah memandang hamba-hamba-Nya
dengan penuh kasih sayang. Dia menjawab permintaan mereka ketika mereka
menyeru-Nya, menyambut mereka ketika mereka memanggil-Nya dan mengabulkan doa
mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.
Wahai manusia! Sesungguhnya
dirimu tergadai kerana amal-amalmu, bebsakan ia dengan istighfar. Belakangnmu
berat kerana beban dosamu, ringankan ia dengan memanjangkan sujudmu.
Ketahuilah, Allah bersumpah dengan segala kebesaran-Nya, Dia tidak akan
mengazab orang yang bersolat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan
neraka pada hari manusia berdiri di hadapan Tuhan seluruh alam.
Wahai manusia! Siapa antara
kamu memberi jamuan berbuka puasa kepada orang Islam yang berpuasa pada bulan
ini, di sisi Allah sama nilainya dengan membebaskan seorang hamba dan dia
diberi ampunan atas dosa-dosa yang lalu.
Seorang sahabat bertanya : "Ya
Rasulullah, tidaklah kami semua mampu berbuat demikian." Rasulullah meneruskan
khutbahnya : "Pelihara
dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Pelihara dirimu dari
api neraka walupun dengan hanya seteguk air."
Wahai manusia! Siapa yang
membaguskan akhlaknya di bulan ini, dia akan berjaya melintasi Sirat
Al-Mustaqim pada hari ketika kaki-kaki tergelincir. Siapa yang meringankan
pekerjaan orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) di bulan
ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari kiamat. Siapa menahan sikap
buruknya di bulan ini, Allah akan menahan kemurkaan-Nya pada hari ia berjumpa
dengan-Nya.
Sesiapa memuliakan anak yatim
pada bulan ini, Allah memuliakannya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa
menyambungkan tali persaudaraan pada bulan ini, Allah akan menghubungkannya
dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa memutuskan hubungan
kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia
berjumpa dengan-Nya.
Siapa melakukan solat sunat di
bulan ini, Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Siapa melakukan
solat fardhu, baginya ganjaran seperti melakukan 70 solat fardhu di bulan lain.
Siapa memperbanyak selawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan
timbangannya pada hari ketika timbangan menjadi ringan. Siapa membaca satu ayat
Al-Quran pada bulan ini, ganjarannya seperti mengkhatamkan Al-Quran pada
bulan-bulan lain.
Wahai manusia! Sesungguhnya
pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, mohon kepada tuhanmu agar tidak pernah
menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup, mohon kepada tuhanmu agar ia
tidak akan dibukakan bagimu. Syaitan-syaitan dibelenggu, mintalah agar ia tidak
lagi menguasai dirimu.
Ali bin Abi Talib yang
meriwayatkan hadis ini berdiri dan berkata : "Wahai
Rasulullah, amal apakah yang paling utama di bulan ini?" Jawab
nabi :"Wahai Abu Al-Hasan, amal yang paling utama di bulan ini
adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah."
*************
Wahai
sahabatku sekalian, jadikanlah Ramadhan kali ini Ramadhan yang penuh bermakna
bagi kita. Manfaatkanlah Ramadhan yang mulia ini dengan sebaik-baiknya
seolah-olah inilah Ramadhan terakhir buat kita semua. Allah dah sediakan satu
bulan yang khas istimewa untuk kita semua menambahkan amalan, mendekatkan diri
pada Allah, mencari sebanyak-banyak pahala, mencari malam Lailatul
Qadar....maka manfaatkannya... Insya Allah.
hidupbiarbest
jgn lupa, jg2 dgn sifat mazmumah.
ReplyDelete